menyengat tapi tidak begitu menyakitkan

Sabtu, 1 Mei 2010

Pemimpinkah yang perlu berubah.

Bila berlaku sesuatu perkara yang membabitkan kepentingan negara seperti apa-apa skandal pun yang dah terjadi biasanya pihak orangramai akan menyalahkan pihak pemimpin.
Skandal PKFZ, Skandal BMF dan Perwaja , sekadar beberapa contoh yang melibatkan pemimpin tinggi negara. Banyak pihak telah menyalahkan beberapa individu tertentu yang dikatakan menjadi dalangnya.

Banyak suara kedengaran dilaung agar pemimpin perlu ditukar. Pihak BN umpamanya selalu menyarankan pemimpin PR diganti, contohnya Mursyidul Am Pas wajar melepaskan jawatan, atau MB Kelantan wajar bersara, pihak PR pula melakukan perkara yang sama.Jika ada apa-apa isu yang melibatkan apa-apa kementerian, sudah pasti menteri berkenaan diminta meletakkan jawatan.

Begitulah senario politik Malaysia zaman kini. Hasil dari pendedahan atau desakan adalah kosong sahaja. Bertahun masa berlalu dan sebarang pergolakan yang berlaku tidak dapat mengubah kedudukan seseorang.Lebih-lebih lagi desakan atau bantahan itu dilontarkan secara sambil lewa dan tidak komited dengan tuntutan. Saya sendiri ada satu pengalaman menyertai suatu demonterasi membantah isu berkaitan israel dan saya dapat pengajaran bahawa demonterasi yang dilakukan oleh orang malaysia tidak mampu mengubah keadaan.

Khamis, 14 Januari 2010

Edit pemilihan calun PRU 2013

Setiap kali keputusan pilihanraya diumumkan sejak dari mula merdeka lagi kawasan Jerantut belum pernah menjadi kebanggaan penyokong Pas. Kecuali dua DUN yang pernah dimenangi pakatan pembangkang iaitu DUN Tahan dan Pulau Tawar, kerusi parlimen dan DUN Damak tetap kekal dalam tangan BN. Majoriti undi juga dicatatkan turun naik menanda kecenderungan pengundi pengundi di Jerantut boleh berubah-ubah.

Banyak faktor yang menjadi punca boleh mempengaruhi kecenderungan pengundi. Diharap pada persediaan pilihanraya 2013 nanti , lujnah politik & pilihanraya peringkat kawasan dan negeri menilai realiti kehendak pengundi setempat, meneliti sejarah keputusan pilihanraya secara bijaksana dan menerima teguran dari jentera pilihanraya yang telah dilantik dalam menentukan calun calun yang hendak ditonjolkan.

Pemilihan calun dalam pilihanraya sangat-sangat mempengaruhi keputusan pilihanraya. Pas tidak boleh lagi memilih calun mengikut selera anggota LPP mereka, jika inginkan keputusan yang lebih selesa. Jika tidak, muncullah calun yang hanya menjadi pilihan penyokong Pas sahaja tapi gagal meraih sokongan pengundi.

Keghairahan dalam menyumbang kepada perjuangan juga kadang-kadang memerangkap Pas. Kita lihat sikap ini telah menjadi alasan kepada mereka untuk menonjolkan diri sebagai calun yang kadangkala pemilihan tersebut menjadi isu sensitif kepada rakyat negeri. Negeri Pahang Darulmakmur ini adalah negeri yang mempunyai penduduk yang berasal dari berbagai negeri lain. Isu sensitiviti kenegerian asal ini perlu dipandang serius oleh Pas.

Memang isu ini remeh nampaknya kepada sesetengah penyokong Pas, tapi percayalah isu ini jika dikaitkan dengan isu lain maka akan menjadi isu yang gagal dijawab oleh petugas petugas pilihanraya Pas. Di Jerantut, pemilihan calun parlimen atau DUN dari seorang anak jati Pahang adalah perkara terbaik. Saya amat berharap Lujnah Politik dan Pilihanraya Pas Jerantut dan negeri Pahang bertindak awal memastikan perkara ini berlaku. Jangan pandang sebelah mata bila calun parlimen dan DUN datang dari satu keluarga dan sekampung pula dengan bakal MB seandainya Pas menang.

Jika kita perlu berhujah tentang perkara ini tentunya ia merugikan. Banyak perkara perkara yang tidak sepatutnya disebut akan muncul. Jadi lebih baiklah parti Pas mengambil langkah awal dalam memilih calun. Faktor faktor yang menjadi pilihan pengundi pada hari ini merangkumi ruang yang sangat luas dan inilah yang perlu difahami oleh Pas.

Isnin, 11 Januari 2010

APA BN BUAT SELAMA MEMERINTAH JERANTUT

Sudah lebih 50 tahun BN memerintah Jerantut.Kalau diukur pada umur manusia dah wajib pencen tapi bila pemimpin umno melanjutkan umur persaraan ke 58 tahun maka kita pun fahamlah bahawa usia BN ( dulu perikatan ) dah sampai kehujungnya tapi masih bernafsu untuk berkuasa.

Tak payahlah kita persoalkan reputasi BN ditempat lain, mari kita tinjau apakah mereka buat selama ini di Jerantut. Sejak menjadi pemerintah dapat kita nilaikan betapa rendah mutu pembangunan yang dirancang oleh pemimpin-pemimpin BN Jerantut. Kalau ada pun sedikit pembangunan yang dibuat itu adalah disebabkan oleh permintaan semasa. Contohnya tandas awam ,longkang dan pasar awam.

Apakah selama ini mereka (BN) tidak berfikir untuk membangunkan Jerantut dengan bersungguh-sungguh.Tentulah tidak,mereka memerah fikiran untuk memajukan Jerantut namun semua idea-idea yang bernas tidak dikeluarkan. Kenapa ? kerana jika sesuatu projek itu benar-benar memberi manafaat kepada rakyat, tentulah ahli Parlimen dan juak-juaknya mendapat nama sedangkan AJK mesyuarat yang melontar idea silap-silap kena cantas. Ingat tak cerita singapura dilanggar todak, mana boleh orang bawah lebih bijak.

Pembangunan Jerantut boleh diumpamakan sebagai perjalanan sebatang sungai berlaku hanya secara semulajadi, projek hiliran . Contoh ada orang nak buang air dibuat tandas, ramai penagih berkeliaran dibuat puspen, ramai mati exciden kat simpang dibuat traffic light, ramai orang melayu berniaga dibuat tapak pekan sari dan begitulah seterusnya. Sampai bila keadaan ini berlarutan kita pun tak tahu .MP dah berkali-kali tukar namun pembangunan tetap tak maju-maju. Bila diungkit tentang kegagalan pemimpin BN ,ada segelintir orang-orang umno akan bangun melenting mempertahankan pemimpin mereka. Betapa buruknya perangai mereka yang ini.

Pembangunan Jerantut pada hari ini banyak dilakukan oleh syarikat sewasta yang tentunya dimiliki oleh bukan melayu. Mana perginya agensi-agensi pembangunan seperti Mara dan Pasdec. Sudah cukupke dengan projek lama tanpa perlu meneruskan projek baru.
Mana pula perginya projek universiti , maktab perguruan dan MRSM yang pernah dilaungkan dulu. Atau pun sudah tak teringat untuk berusaha membawa projek tersebut ke Jerantut.

Pemimpin BN kita lihat sudah benar-benar mabuk kuasa . Dulu semasa pilihanraya sanggup meredah masuk kampung tiap hari untuk berjumpa orang ramai tapi setelah menang batang leher pun tak nampak. Itu pun kalau sesekali balik dan melawat kampung,masih ramai yang mengekornya. Masih tak sedar-sedar juga orang melayu dalam memilih pemimpin. Cantas jelah kalau dia klentong kita, buat apa diundi sokmo dalam setiap kali mengundi.

Kesimpulannya bukan calun yang mesti ditukar kerana itu urusan orang BN untuk memilih kepala penipu mereka, tapi kita orang pengundi mesti menumbangkan BN. Kita beri peluang PR memerintah Malaysia pula. Dalam tempuh 5 tahun kita boleh membuat penilaian siapa lebih baik. Kalau PR lebih teruk kita undi BN pulak sebab masa tu tentu pemimpin BN menyalak siang malam minta perhatian diundi macam Khir Toyo lakukan di Selangor masa kini.

Khamis, 31 Disember 2009

PERKASAKAN PAKATAN RAKYAT

Mulai hari ini rakyat Malaysia perlu memperkasakan Pakatan Rakyat. Itu saja jalan yang ada untuk menumbangkan BN melalui undi pilihanraya akan datang. Memenangi pilihanraya adalah jalan terbaik untuk PR kerana hanya mandat pilihanraya yang diterima oleh dunia pada hari ini walaupun dibeberapa negara mandat ini dirampas bila parti yang Islamik menang seperti di Algeria dan Palastine.

Di negara kita,BN yang memerintah selama lebih 50 tahun telah gagal memberi keharmonian dan keselesaan kepada setiap lapisan rakyat .Dalam tempuh memerintah, BN walaupun dengan segala kuasa yang ada, mereka gagal membentuk bangsa melayu yang maju dan mampu berdaya saing dengan bangsa lain di negara ini.

Kegagalan bangsa Melayu dilihat kerana mereka tidak diberi peluang untuk belajar bersaing secara sihat kerana pemimpin BN sentiasa menggunakan orang Melayu sebagai alat saluran subsidi atau kontrek anugerah dan sebagainya sedangkan disebaliknya terdapat penyelewengan untuk habuan segelintir puak sahaja. Sudah tentu orang Melayu merasa selesa dengan keadaan ini, tapi situasi inilah yang telah menyebabkan Melayu tidak mampu bersaing lagi.

Kita lihat pula sejak belasan tahun kebelakangan ini negara kita dibanjiri dengan fitnah. Wabak fitnah yang dimulai dengan fitnah liwat terhadap DS Anwar walaupun sehingga hari ini tuduhan terhadapnya masih belum terbukti kesahihannya. Orang ramai yang bersetuju dan menyebarkan fitnah ini perlu berhenti segera kerana setakat ini tiada bukti yang mengesahkan fitnah tersebut. Ingatlah kita berdosa jika kita menyebarkan fitnah dan jika kita sebarkan fitnah sudah tentu kita berdosa kerana fitnah tetap fitnah.

Hari ini Umno menggunakan berbagai isu untuk menakutkan orang Melayu dari memberi sokongan kepada PR. Kadang-kadang saya terfikir mengapakah bangsa Melayu begitu 'bangsat' sehingga perlu menerima ugutan demi ugutan dan cacian. Umno sentiasa mengungkit bantuan, subsidi, biasiswa yang telah diberi oleh kerajaan kepada rakyatnya. Apakah semua pemberian kepada orang Melayu itu terlalu besar berbanding dengan apa yang mereka dan kroni mereka perolehi selama ini .

Kita sentiasa diungkit oleh Umno kerana anak-anak kita belajar di Universiti dengan pembiayaan kerajaan. Betul tak? Kita juga sentiasa diungkit kerana menerima baja subsidi,saham dan lain-lain bantuan. Kalau beginilah sikap Umno kepada orang Melayu ,wajarlah orang Melayu beralih sokongan dan harapan kepada PR diterajui oleh 2 parti yang majoriti ahli Melayu. Tentunya nasib orang Melayu tidak terabai dan orang Melayu akan diasuh dan dibentuk agar lebih dinamik dan sepadu.

Umno juga memainkan isu dengan mengatakan Pas telah menukar hala bila menggunakan slogan 'Islam untuk semua' bukan lagi 'Negara Islam' kerana menurut kehendak DAP dan PKR. Ini satu lagi bukti kedangkalan puak-puak dalam Umno memahami Islam. Tidakkah mereka faham dengan maksud 'semua'. Jika dulu konsep negara Islam digunakan tetapi hari ini bila dilihat golongan lain ugama menunjukkan minat terhadap nilai-nilai Islam maka wajarlah slogan Islam untuk semua digunakan sebagai asas perjuangan. Sesuai dengan maksud Islam yang memberi rahmat dan kesejahteraan kepada seluruh umat manusia.

Umat Islam di negara ini wajar memberi sokongan sepenuhnya kepada Pakatan Rakyat untuk melakukan perubahan ini. Dalam PR ada parti Pas yang berjuang memertabatkan Islam walaupun jika diketuai oleh PKR sedangkan dalam BN hanya ada Umno yang sentiasa mengabaikan Islam. Bandingkan dan lihatlah kelebihan pada Pakatan Rakyat .
Fikir dan renungkan...

Rabu, 30 Disember 2009

Alahai DUN Damak

Sudah 3 penggal DUN Damak dikuasai oleh BN. Walaupun majoriti undi yang dikutip semakin berkurangan namun masih belum nampak pihak parti lain dapat mengalahkannya dalam pilihanraya akan datang. Majoriti pengundi dijangka masih selesa dengan kepimpinan yang sedia ada. Ketokohan ADUN Damak serta kesediannya bercampurgaul dengan penduduk di kampung-kampung telah menyumbang kepada kemenangan parti tersebut.

Namun disebalik penguasaan BN itu, kepimpinan Umno di kawasan DUN Damak mengalami kemerosotan yang amat ketara . Tiada lagi pemimpin Umno dari kawasan ini yang menonjol di peringkat bahagian Jerantut.Kemunculan pemimpin muda tidak dapat dilihat kewibawaannya. Apa yang ada hanyalah pemimpin lama yang masih bertelagah sesama sendiri untuk mendapatkan kedudukkan selesa di Umno bahagian Jerantut.

Sudah menjadi lumrah bagi setiap ahli politik untuk menjadi pemimpin di tempat sendiri, namun bagi pemimpin Umno di DUN Damak peluang ini amat sukar dicapai. Ini kerana DUN Damak telah dianggap sebagai milik MCA. Keadaan ini seolah-olah mematikan semangat ahli Umno untuk membina kekuatan parti kerana menyedari peluang pemimpin mereka menjadi ADUN tipis.

Kegagalan perancangan yang baik dipihak pembangkang juga dilihat amat ketara. Kekuatan pembangkang adalah diterajui oleh Pas namun hak meletakkan calun diserah kepada PKR. Keadaan ini telah memberi impak kepada Pas sama dialami Umno sekarang. Jentera politik PKR di Damak hanya 15 orang sedangkan jentera Pas lebih ramai dan tersusun.

Pihak atasan Pakatan Rakyat Pahang sepatutnya menilai perkara ini. Hak bertanding mesti diberi kepada Pas.Itu adat berpolitik. Yang ramai dan tersusun mesti diberi keutamaan kerana kerja-kerja pilihanraya bukanlah kerja kecil. Strategi mestilah menjurus kepada kemenangan dan jangan hanya berserah kepada nasib.

Isnin, 21 Disember 2009

Hulu, Kuala dan Sungai Cheka

Cheka adalah satu nama yang selalu dipasangkan dengan tiga sebutan awal iaitu Hulu Cheka, Kuala Cheka dan Sungai Cheka. Sungai Cheka adalah sebatang sungai yang menghubungkan dua mukim , Hulu Cheka dan mukim Cheka dihilirnya .

Dibahagian hulu, sungai cheka bermula dari pertemuan sungai rengat dan sungai berau. Di hulu sungai berau terdapat perkampungan ulu cheka dan hulu sungai rengat adalah banjaran utama dimana terdapatnya gunung benum, liling dan permatang angin , tempat yang dikunjungi oleh pendaki-pendaki gunung benum melalui kg tengah ulu cheka.

Sungai Cheka di tadbir oleh dua orang ADUN dari Parti Cina Malaysia iaitu ADUN damak dan ADUN cheka . Majoriti penduduk di kedua-dua DUN adalah melayu yang mana telah memberi kesetiaan kepada kedua-dua ADUN berbangsa Cina. Bagi orang melayu di kedua-dua DUN ini khususnya mereka tidak memikirkan bahawa kepimpinan adalah sesuatu mendasar kepada akidah dan iman tapi bermatlamat duniawi semata-mata.

Akhirnya kekal berpuluh tahun sungai cheka mengalir dibawah naungan persatuan cina m'sia . Di manakan pertubuhan melayu menyembunyikan muka , baculkah mereka atau dayus membiarkan tanah warisan mereka diperintah bangsa lain . Begitu di hulu begitulah di kuala, itulah cheka.

Di hulu cheka , umno telah berakar umbi sejak merdeka lagi , sebelum itu ramai anak watannya bangkit menjadi pejuang menentang gerila komunis , menyambung wasiat perjuangan datuk moyang untuk menjaga tanahair. Namun wasiat perjuangan yang menyebut nama Allah, berkat Muhammad dan kegagahan sayidina Ali yang diwariskan gagal difahami . Tinggallah sebutan-sebutan itu dalam jampi dan serapah sahaja . Mereka gagal memahami maksud yang tersirat disebalik yang tersurat.